Gugurkan Janin Jika Hadapi Zika

Wanita hamil yang dijangkiti virus zika dibolehkan menggugurkan janinnya yang belum mencapai usia 120 hari, kata Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.




Beliau berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya janin yang kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya.

Menurutnya, apabila situasi itu berlaku, harus menggugurkan janin mengikut kehendak ibu ba­panya.

“Kami lebih cenderung kepada pendapat Majma’ Fiqh Islami berkenaan penyakit talasemia yang boleh diqiaskan bagi isu virus zika ini, sekiranya dapatan kajian daripada pakar perubatan yang diyakini menunjukkan bahawa janin yang dijangkiti virus tersebut boleh mengundang pelbagai bentuk kecacatan sehingga memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri.

“Dalam keadaan sedemikian, persetujuan daripada kedua-dua ibu bapa yang diberi kefahaman yang jelas bolehlah diambil kira untuk pelaksanaan pengguguran janin itu,” katanya dalam kenya­taan melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (http://www.muftiwp.gov.my) hari ini.


Ramai yang cepat melatah tentang hal ini. pelbagai aspek menyeluruh yang harus kita lihat. Lihat dengan ilmu dan akal bukan dengan nafsu. 

Seperti yang umum sedia maklum, setakat ini kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungkait antara ibu hamil yang dijangkiti virus Zika dan insiden bayi kandungannya mendapat microcephaly. 

Walaupun peratusannya rendah, iaitu sekitar 1-13%, ia tetap menjadi tanggungjawab doktor untuk memaklumkannya kepada masyarakat.


Kenapa nak gusar tentang Zika dan microcephaly?


Buat makluman semua, microcephaly bukan terhad kepada kecacatan pada saiz kepala sahaja. Ia lebih dari itu. Bayi-bayi microcephaly berisiko untuk mendapat pelbagai komplikasi rumit kerana ia juga melibatkan organ yang amat penting di kepala; iaitu otak.

Kanak-kanak yang mempunyai microcephaly cenderung untuk mengalami sawan, kelewatan perkembangan, masalah neuromuskular, gangguan keseimbangan, terencat akal, masalah tingkah laku, masalah pendengaran dan penglihatan, kesukaran menelan, dan kelewatan pertuturan.

Bagi meminimakan masalah-masalah ini, kanak-kanak ini perlu dipantau semenjak lahir dan biasanya dirujuk kepada doktor pakar neurologi kanak-kanak, doktor rehabilitasi, jurupulih fisioterapi, jurupulih carakerja dan jurupulih pertuturan. Ini bermakna, ibu bapa akan meluangkan banyak masa, tenaga dan wang ringgit untuk membawa anak-anak ini menjalani rawatan.

Tak dinafikan kanak-kanak microcephaly adalah anak-anak syurga, tetapi mampukah ibubapa galas tanggungjawab menjaga ahli syurga ini?

Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kanak-kanak dengan keperluan khas di Jabatan Rehabilitasi, ibubapa terpilih ini, ada yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dan menguruskan anak-anak ini, bergolok bergadai sehingga sehelai sepinggang dan ada juga yang mengalami depressi.

Oleh kerana bukan mudah menjaga anak-anak berkeperluan khas, terdapat segelintir ibubapa yanggagal menggalas tanggungjawab tersebut. Ada kanak-kanak ini yang dibiarkan terlantar tanpa rawatan susulan sehingga mendapat komplikasi seperti kekakuan otot, deformasi sendi, tidak diberi makan secukupnya, tidak diberi peluang belajar dan sebagainya. Sebelum ke syurga, anak-anak ini mengharungi neraka di dunia. Jadi, jangan pandang enteng.

Tiada petugas kesihatan yang melabel kanak-kanak istimewa sebagai hina. Jauh sekali kami membenci. Bahkan, kamilah yang merawat, membimbing, menyokong dan menjadi tempat mengadu kepada mereka. Apa pula sumbangan anda sebagai masyarakat yang "menerima" mereka?

Dalam isu ini, satu-satunya “racun” yang saya dapat lihat adalah kata-kata fitnah daripada mereka yang kurang berilmu yang menggunakan agama sebagai tuil untuk melariskan fitnah mereka.

Siapa yang sebenarnya menangguk di air yang keruh? Fikir-fikirkanlah.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Pegawai Perubatan Rehabilitasi
Medical Mythbusters Malaysia (M3)


Comments

Popular posts from this blog

Suami Suka Berdengkur ? WAJIB Baca Ini Kalau Sayang Suami

Tidur Lambat Punca Hati Cepat Rosak

Tanda-tanda awal kanser payudara